Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bercakap pada sidang media mengenai Program 'Rehiring' di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan tiada rekod bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos meninggalkan negara ini.

Mengikut rekod terkini, Jabatan Imigresen  tiada aktiviti keluar negara oleh kedua-dua individu yang disenaraihitamkan untuk meninggalkan negara ini.

“Kita tidak tahu dimana keberadaan mereka. Itu yang dikatakan mirip Tan Sri Musa Aman, Imigresen tidak ada disitu untuk sahkan.

“Tidak ada rekod keluar negara bagi kedua-dua mereka,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Imigresen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Musa Aman sudah meninggalkan negara dan kini berada di London.

Seorang pengguna laman Facebook yang dikenali sebagai Az Eem telah memuat naik satu video berdurasi 10 saat yang mendakwa terlihat kelibat Musa Aman berbaju merah dan bertopi.

Video itu dirakam di Stesen Keretapi St Pancras International London.

Beliau dilaporkan tidak berada di negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 14 Mei lalu untuk menemui dan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Jamal juga dilaporkan sudah meninggalkan negara dan kini didakwa berada di Indonesia.

Oleh itu, Polis Diraja Malaysia telah diarahkan bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Jamal.

Sekiranya benar kedua-dua sudah meninggal negara, maka kedua-dua mereka sudah melanggar Sesyen 2 Akta Pasport 1966, dan Sesyen 5 Akta Imigresen 1957/63.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000, hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kalau mereka keluar tidak melalui pintu yang sah, maka itu telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen. Kedua-dua mereka sudah disenaraihitamkan,” demikian menurut Mustafar.

Jamal pada Rabu gagal menghadirkan diri ke Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis susulan dakwaan melarikan diri sebelum proses ikat jamin selesai. – MalaysiaGazette