Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi taklimat kepada beliau mengenai dakwaan kemasukan 80,000 pekerja asing ke Malaysia beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-14.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini untuk mengaut keuntungan.

“Saya juga telah mengarahkan supaya pelaksanaan kelulusan ini, jika ada, ditangguhkan dahulu sehingga saya diberikan taklimat terperinci mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhyiddin, sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan menjejaskan kepentingan negara akan diambil tindakan tegas.

Sementara itu, Muhyiddin menafikan bahawa beliau mengenali indivitu bernama Dato’ Amin yang dikatakan terlibat dalam sindiket kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia yang tular di laman media sosial

“Tidak ada apa-apa perbincangan antara saya dan individu tersebut mengenai kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette