KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) dan rakyat khususnya memberi peluang kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melakukan kerjanya mentadbir negara ini.
Katanya, beliau faham tugas Dr. Mahathir amat berat untuk memulihkan kembali negara ini pada landasan yang betul setelah dirosakkan oleh pemimpin UMNO dan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Berilah peluang kepada Tun M buat kerja. Jangan bebankan beliau dengan desakan demi desakan.
“Saya beritahu kepada semua kepimpinan PH, bersabarlah. Yang penting kita (buat) kerja. Lagipun, jemaah menteri belum lagi lengkap, belum ada Timbalan Menteri lagi. Sekarang ini kita kena kerja kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bicara Terus Terang Khas bersama Anwar Ibrahim anjuran Invoke Malaysia yang disiarkan menerusi akaun Facebook Rafizi Ramli, hari ini.
Anwar yang baharu keluar dari penjara selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu memberitahu, beliau tidak berdendam dengan Dr. Mahathir dan ikhlas berkawan dengannya.
“Saya tidak pura-pura dalam hal ini. Kepada umum pun saya sebut dan kepada Tun M pun saya sebut, saya tidak ada dendam apa-apa.
“Untuk membentuk Pakatan Harapan dan bekerjasama dengan Tun M mengambil masa serta bukan suatu yang mudah. Apabila semuanya berjalan dengan lancar, kenapa saya hendak bermusuh (dengan Tun M) lagi
“Malah, saya akan membantu Tun Mahathir untuk memberi wajah baru dalam Malaysia. Saya beritahu hal ini kepada semua sultan. Saya berita mereka, saya sokong Tun M dan kenapa dia perlu diberi sokongan,” katanya.
Menjawab soalan mengenai dakwaan pihak tertentu yang mengkritik keras corak pentadbiran Dr Mahathir dalam tempoh 26 hari kerajaan PH mengambil alih pentadbiran persekutuan, Anwar berkata, semua pihak boleh memberi teguran.
Bagaimanapun, katanya, banyak teguran itu datangnya dari pemimpin berotak selut yang sengaja tidak mahu faham apa yang dilakukan oleh kerajaan PH, kerana terbiasa dengan kepimpinan UMNO.
“Pemimpin otak selut ini memang tak faham. Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah untuk menampilkan kerajaan berwajah baru.
“Saya beritahu Dr Mahathir, dan dia beritahu pada kawan-kawannya supaya jangan layan segala persepsi dan tohmahan dari pihak tertentu,” katanya.
Beliau turut bersyukur tidak dilantik sebagai Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini kerana banyak sistem pentadbiran yang perlu diperbetulkan, dibaikpulih dan kemas kini.
“Ada hikmah juga saya tak jadi Perdana Menteri sekarang. Saya beritahu isteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), kalau saya Perdana Menteri, saya kena betulkan semua sistem yang ada.
“Ini tentunya tugas yang berat dan saya terlepas (memikulnya) sebab semuanya dipikul oleh Dr Mahathir. Saya hanya sokong sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
















