KUALA LUMPUR – Polis Indonesia diminta bekerjasama untuk memburu dan menangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang disyaki menyembunyikan diri di negara jiran itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk menahan Jamal yang dikehendaki dalam kes berkaitan senjata api di negara ini.

Namun katanya, penahanan Jamal perlu malalui saluran undang-undang yang ada apabila melibatkan negara lain.

“Kalau boleh hari ini nak tangkap Jamal, tapi soal proses dan prosedur itu mesti ada, Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) pun ada di sini dan mereka sedang mengendalikan isu itu.

“Saya diberitahu bahawa mereka telah dapatkan kerjasama pihak berkuasa kepolisan Indonesia untuk menyelesaikan masalah itu.

“Saya berharap Indonesia memberi kerjasama dalam perkara ini untuk memastikan pihak-pihak yang disebut tadi di bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia di Bukit Aman.

Lawatan yang turut dihadiri Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alwi Ibrahim itu diteruskan dengan mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi pegawai kanan polis selama dua jam membincangkan mengenai operasi dan pelaksanaan tindakan dalam menjamin keselamatan dalam negara.

Ditanya mengenai status pencarian Tan Sri Musa Aman, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, bekas Ketua Menteri Sabah itu merupakan individu dikehendaki dan sedang dicari polis.

“Dia antara dikehendaki polis kerana terdapat laporan polis yang telah dibuat terhadap apa yang berlaku di Sabah.

“Jadi saya yakin polis akan bertindak mencari di mana kedudukan beliau (Musa Aman) dan membawa dia pulang ke negara untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas beliau.

Musa sedang menghadapi beberapa kes termasuk pemerasan jenayah terhadap Gabenor Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu kini disyaki melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa. – MalaysiaGazette