Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerima lukisan dari Mohamad Azlan Mohamad Yunus pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerima lukisan dari Mohamad Azlan Mohamad Yunus pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018

PUTRAJAYA – Institusi zakat di negara ini digesa meluaskan skop pemberian bantuan zakat selain daripada lapan golongan asnaf menerusi asnaf fisabilillah bagi tujuan membantu golongan kurang upaya (OKU) beragama Islam untuk membiayai pendidikan mereka.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, bagi tujuan itu ulamak berperanan meluaskan istilah penerima zakat tidak terhad kepada lapan golongan asnaf yang terkandung dalam al-Quran semata-mata.

“Memberikan zakat kepada golongan OKU melalui asnaf fisabilillah untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja kebajikan.

“Bukan kita kata OKU itu sebahagian daripada asnaf, tapi ada jalan lain untuk menggunakan duit zakat untuk tujuan kebajikan mereka,” katanya ketika ditemui dalam Program Penerapan Nilai-nilai Murni bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Puspanitapuri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkelfy Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Maszlee juga berkata pengurusan zakat pada hari ini berjaya membasmi kemiskinan dalam masyarakat namun usaha itu masih perlu diperbanyakkan.

“Bukan orang miskin saja kita nak bantu, orang yang tidak bernasib baik seperti OKU.

“Mungkin tidak semua golongan ini memerlukan bantuan bagaimanapun kebanyakan mereka perlukan bantuan,” katanya.

Maszlee berkata lagi, beliau kesal apabila cadangan beliau sejak tujuh tahun lalu agar dana zakat disalurkan kepada golongan kurang upaya untuk tujuan pendidikan ditolak sepenuhnya hanya kerana mereka bukan dalam kalangan lapan asnaf.

“Mereka guna cara lama melihat pembayaran wang zakat perlu mengikut apa yang disebut dalam al-Quran semata-mata.

“Betul al-Quran hanya menyebut lapan golongan layak menerima zakat, namun menerusi asnaf fisabilillah, yang membiayai wang untuk kepentingan Allah di mana ia boleh diterjemahkan untuk tujuan dakwah,” katanya.

Katanya lagi, meskipun ramai pelajar Islam tidak menerima dana daripada Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pendidikan di negara Timur Tengah, namun mereka mampu melanjutkan pengajian dengan bantuan pusat-pusat zakat.

“Zakat sepatutnya boleh disalurkan untuk tujuan kebajikan dan sumbangan, menerusi asnaf fisabilillah di mana ramai anak orang Islam mendapat pembiayaan pendidikan ke luar negara.

“Sebagai contoh ramai yang melanjutkan pelajaran khususnya jurusan agama di Universiti al-Azhar dan negara Timur Tengah termasuk Mesir dan Jordan, biasanya mereka menerima dana zakat.

“Walaupun al-Quran tidak menyebut golongan ini dalam al-Quran, tapi zakat disalurkan menerusi asnaf fisabilillah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette