Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin
Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi mengesahkan cuma Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sahaja yang sudah menyerahkan borang pengesahan pencalonan bagi jawatan presiden badan induk bola sepak negara itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengedarkan borang setuju terima pencalonan kepada ketiga-tiga nama yang dicalonkan iaitu Hamidin, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sebelum ini.

“Setakat ini kami sudah menerima satu borang pengesahan sahaja iaitu dari Datuk Hamidin dan yang dua lagi tu belum.

“Saya juga sudah adakan perjumpaan bersama kedua-dua calon berkenaan dan mereka meminta sedikit masa tambahan.

“Mereka mempunyai masa sehingga 14 Jun untuk menyerahkan semula borang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis berbuka puasa FAM bersama pengamal media tempatan di sini semalam.

Yusof menjangkakan FAM akan menerima jawapan mereka sebelum tarikh tersebut.

Untuk rekod, Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Azim daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Kerusi Presiden FAM yang dikosongkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2 April lalu.

Jika dua calon itu sah bertanding, akan berlaku pertarungan tiga penjuru dalam untuk jawatan itu semasa Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan. – MalaysiaGazette