Nicklas Bendtner. Foto Skysport.
Nicklas Bendtner. Foto Skysport.

DENMARK – Penyerang berpengalaman, Nicklas Bendtner telah digugurkan daripada senarai 23 pemain Denmark untuk ke Piala Dunia di Rusia gara-gara masalah kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

Dia mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi bersama kelabnya Rosenborg, di Norway, seminggu sebelum melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan.

Bendtner juga dilihat berlatih bersendirian dan tidak diturunkan dalam aksi persahabatan yang menyaksikan Denmark terikat seri tanpa jaringan menentang Sweden pada Sabtu lalu.

Pengurus Denmark, Aage Hareide menerusi laman Twitter FA Denmark memaklumkan dia mahukan pemain yang cergas sepenuhnya untuk di bawa ke Rusia.

“Kami tidak percaya mereka akan cergas tepat pada masanya bagi perlawanan pertama menentang Peru, ia terlalu suntuk dan perlawanan itu amat penting,” jelas Hareide.

Menurutnya, Denmark akan bersaing dengan Peru dan Australia untuk kedudukan kedua kumpulan. Mereka berada di dalam Kumpulan C bersama-sama Peru, Australia dan Perancis.

“Dan itulah sebabnya ia penting untuk bermula dengan baik dan kami perlukan pemain yang cergas,” jelas pengurus yang berasal daripada Norway itu lagi. – MalaysiaGazette