Jamal Md Yuno
Jamal Md Yunos. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR –  Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Indonesia tidak perlu melayan permintaan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengesan lokasi terkini Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa telah ke luar negara.

Jamal berkata, ini kerana jenayah yang dilakukannya sebelum ini adalah kecil dan tidak mengancam keselamatan negara sambil menyifatkan campur tangan pihak Interpol hanyalah sia-sia dan membuang masa sahaja.

“Pihak Interpol tidak perlu melayan kerana apa yang saya lakukan bukanlah satu jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan sebagainya.

“Ianya hanyalah kesalahan kecil contohnya kesalahan yang saya lakukan seperti memprotes Pesta Arak dengan memecahkan botol arak di hadapan pejabat SUK Selangor menggunakan tukul besi.

“Kesalahan tersebut hanya didenda tidak melebihi RM400 dan kesalahan-kesalahan lain contohnya mengadakan perhimpunan haram hanya didenda RM100 dan sebagainya,” katanya dalam satu rakaman panggilan telefon yang tular di aplikasi Whatsapp, hari ini.

Jumaat lalu Muhyiddin meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang dipercayai telah melarikan diri  ke Tanjung Balai, Karimun Besar, Indonesia.

Tindakan Jamal meloloskan diri ke luar negara itu dua hari selepas beliau didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada Jumaat.

Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas beliau memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan SUK Selangor.

Beliau juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Jamal berkata, Polis DiRaja Malaysia tiada keperluan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara luar kerana beliau mendakwa masih berada dalam negara.

“Saya masih berada di dalam negara dan Ketua Pengarah Imigresen pun telah menyatakan bahawa saya belum dikesan di mana-mana pintu negara jika saya keluar negara.

“Tidak ada masalah mereka katakan saya kini di mana pun, yang paling penting saya tidak melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette