Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Kawasan perumahan elit ‘Highland Towers’ Hulu Kelang kini usang dann menjadi sarang penagih dadah serta aktiviti tidak bermoral setelah insiden tanah runtuh sekitar tahun 1993.

Tiada siapa pernah menjangkakan perumahan elit yang sewanya mencecah RM2,500 sebulan ketika itu dan sudah diduduki sejak 1980-an di kawasan lereng bukit oleh golongan elit akhirnya menerima nasib sebegini.

Bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Zuraida Kamaruddin berikrar untuk mengembalikan kegemilangan kawasan itu dengan melakukan pembangunan semula berikutan potensi besar nilai tanah di lokasi tersebut.

Jelas Zuraida, isu ini bukan sesuatu yang asing kepada beliau, sebaliknya sejak menjadi Ahli Parlimen Ampang, dirinya sentiasa dihantui dengan isu-isu masyarakat di kawasan pangsapuri elit itu.

“Sebelum ini, ketika saya masih lagi menjadi pembangkang, isu-isu berkaitan dengan Highland Towers sering diajukan kepada saya. Bukan sahaja sarang penagih malah perkara-perkara lain yang tidak baik berlaku di sana jelas memberi tekanan kepada penduduk setempat. Sudah hampir 30 tahun kita biarkan kawasan ini terbiar begitu sahaja.

“Pada masa yang sama, saya juga telah beberapa kali berhubung dengan pihak pemaju dan pemilik namun pelbagai ‘misteri’ menyelubunginya. Kini dengan taraf jawatan Menteri, mungkin saya boleh lakukan sesuatu.

“Tidak cukup dengan itu, kawasan elit ini mempunyai potensi yang sangat besar. Ketika zaman itu lagi, ianya sangat gah. Saya ingin cuba memajukan semula Highland Towers, bawa kembali sinar tersebut. Saya akan lakukan apa yang termampu bagi memastikan hasrat ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dhari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan memulakan kertas kajian bagi tragedi Highland Towers selain daripada kejadian yang seumpamanya di kawasan lain.

“Ini juga bertujuan untuk sentiasa memastikan pembangunan yang dibuat terutamanya di kawasan cerun atau lereng dapat dipantau dengan lebih ketat agar tragedi seperti ini daripada berulang.

“Kita juga akan mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji kajian kebolehlaksanaan pegambilan tanah dan pembangunan semula rumah yang telah runtuh di kawasan Highland Towers dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Bermula dengan bunyi letupan kuat pada kira-kira pukul 1.30 petang, 11 Disember 1993, siapa sangka lima minit kemudian, bangunan Blok A yang mempunyai 48 unit rumah termasuk dua penthouse itu akhirnya menyembah bumi dan mengorbankan 48 penghuni.

Sebelum ini, beberapa kali penduduk setempat di Taman Hillview dan Taman Sri Ukay mendesak pemaju supaya merobohkan dua blok kondominium terbiar Highland Towers selepas ia menjadi sarang penjenayah dan penagih dadah.

Selagi bangunan itu dibiarkan kosong, ia menjadi lokasi terbaik untuk penjenayah dan penagih dadah bersembunyi, selain melakukan perkara-perkara syirik seperti pemujaan didakwa dilakukan.

Pihak berkuasa juga pernah menembak mati tiga daripada enam penjenayah yang dipercayai perompak, dalam serbuan yang dilakukan di salah satu blok kondominium itu dua tahun lalu.

Bangunan di situ juga tidak mempunyai pagar, menjadikannya lebih mudah diceroboh terutama melalui kawasan hutan dan belukar.

Kira-kira 500 meter dari bangunan itu terdapat kawasan perumahan yang menjadikannya sasaran mudah oleh penjenayah yang bersembunyi di sana.