LONDON – Sadio Mane mencetuskan kebimbangan buat penyokong Liverpool apabila dia dikatakan telah mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid.
Menurut laporan France Football, Mane semakin hampir untuk menyertai Real Madrid selepas bersetuju dengan tawaran kelab gergasi Sepanyol itu.
Namun penyokong Liverpool boleh menarik nafas lega kerana perpindahan bintang Senegal itu ke Santiago Bernabeu terbantut gara-gara peletakan jawatan Zinedine Zidane minggu lalu.
Mane sepatutnya menjadi pemain pertama dibawa masuk ke Bernabeu pada musim panas ini tetapi keputusan Zidane meletak jawatan menjejaskan perpindahan itu.
Zidane didakwa memainkan peranan besar dalam keputusan Madrid untuk membawa masuk Mane.
Namun perpindahan itu terpaksa ditangguhkan sehingga pengurus baharu dilantik.
Pemain berusia 26 tahun itu memainkan peranan penting untuk memantapkan jentera serangan Jurgen Klopp bergandingan dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino.
Mane menjaringkan 20 gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara musim ini. – MalaysiaGazette