Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Tengku Amir Shah bertitah bahawa FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan arena bola sepak negeri Selangor.

“Baginda menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau.

“Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak Selangor terus mara ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Munir berkata Tengku Amir Shah menitahkan rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan baginda apabila menerajui FAS nanti.-BERNAMA