Muhammad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Namun begitu, tiada alasan kukuh mengapa beliau melepaskan jawatan itu, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Beliau tidak menyatakan sebarang alasan kukuh, hanya menyatakan hasrat untuk meletak jawatan,” katanya pada sidang media pasca Kabinet hari ini.

Dr Mahathir berkata, setakat ini belum ada pengganti Muhammad.

Ketika ditanya apakah perletakan jawatan Gabenor itu berkaitan pembelian tanah kerajaan atau 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Dr. Mahathir berkata, Muhammad tidak menyatakan perkara itu di dalam suratnya.

Sebelum ini, Dr. Mahathir dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan pembelian tanah daripada kerajaan terdahulu yang bernilai RM2 bilion.

Tanah yang dibeli itu akan digunakan untuk Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Antarabangsa Syariah bagi Kewangan Islam (ISRA).

Guan Eng mendakwa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan wang berkenaan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Bank Pusat itu dalam kenyataan pula mempertahankan transaksi pembelian hartanah berkenaan.

Bank Negara Malaysia berkata, urusan pembelian tanah tersebut telah dibuat berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.

Malah, urusan pembelian tanah ini mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan Bank Negara Malaysia.

Muhammad dilantik sebagai Gabenor Bank Pusat bagi mengganti Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz pada Mei 2016. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast