Tun Dr Mahathir Mohamad
erdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga lagi menteri akan dilantik menjadikan keseluruhan barisan Kabinetnya kepada 29 orang menteri.

PUTRAJAYA – Sidang Parlimen kali ke-14 yang akan diadakan selama 20 hari mulai 16 Julai depan akan memberi tumpuan kepada pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Antiberita Tidak Benar.

GST telah disifarkan sejak 1 Jun lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar yang akan dimansuhkan, bakal dikaji dan dibahaskan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Perdana Putra hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Kerajaan akan mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk berangkat ke istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen ke-14 pada Selasa, 17 Julai seterusnya melafazkan titah diraja,” katanya.

Dr Mahathir berkata, urusan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengambil tempat pada hari pertama persidangan pada 16 Julai.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan menerima peruntukan sebanyak RM500,000 manakala RM200,000 untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Peruntukan tersebut katanya, akan disalur sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ditanya mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, jawab Dr Mahathir peruntukan tetap akan disalurkan tetapi jumlahnya sedikit.

“Kita akan tetap bagi peruntukan kepada mereka tapi kurang sikit. Kita akan bagi RM100,000 kepada mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette