Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan sebahagian kakitangan yang hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks D, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 07 JUN 2018.
PUTRAJAYA – Walaupun baru tiga minggu memulakan tugas, Kementerian Dalam Negeri sebagai barisan hadapan dapat merasai cabaran dan tanggungjawab berat yang diletakkan rakyat di bahu kerajaan baharu itu.
Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, harapan yang diletakkan rakyat ke atas kerajaan baharu bukan sahaja tinggi tetapi luar biasa menyebabkan warga KDN perlu memastikan Malaysia berjaya dan selamat diduduki.
“Harapan tinggi rakyat adalah beban dan tanggunggungjawab berat untuk kita sebagai pelaksana dasar untuk memastikan menyusun dasar dalam menjamin keselamatan dan kemajuan negara setanding negara maju lain.
“Sebab itu saya meletakkan satu penanda aras untuk kita memfokuskan apa inisiatif baharu dan tertentu yang kita harus ambil untuk mendukung segala amanat yang diberikan rakyat.
“Kita kena faham mereka (rakyat) sedang memerhatikan kita dengan pengetahuan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan inilah yang memaksa kita untuk lebih serius dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita dalam menjamin keselamatan negara,” katanya semasa menyampaikan amanat di Perhimpunan Bulanan KDN pagi ini.
Dalam perkembangan sama, beliau juga bimbang lambakan pekerja asing serta Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mencecah ribuan hingga jutaan orang berkemungkinan akan mengancam keselamatan negara jika tidak dikawal dengan langkah drastik dari sekarang.
“Kemasukan mereka secara haram sangat berleluasa dalam kalangan awam sehingga terfikir bagaimana warga Bangladesh boleh sampai di sini maksudnya dia diangkut dengan kapal besar.
“Kita kena fikirkan bagaimana hendak mengurus dan mengawal kemasukan mereka supaya ia tidak berterusan selepas ini.
“Sebelum ini kita asyik sebut pasal soal ancaman pengganas dan Daesh. saya bimbang isu lambakan warga asing tanpa izin ini jadi ancaman negara dan harus adakan sekatan serta hukuman lebih berat sama ada pihak yang bersubahat atau pemimpin yang memainkan peranan langsung di belakang kemasukan mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast