PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini memutuskan untuk menghentikan siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malayasia Gelombang 2 (SKPMg2) berkuatkuasa serta merta.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan bebanan para guru dan memastikan mereka kembali fokus dalam pengajaran serta melahirkan generasi masa depan yang berilmu.
“Proses audit untuk verifikasi data program itu telah menyebabkan banyak salah faham dan kegelisahan dalam kalangan guru
“Saya mahu bebanan tugas guru dikurangkan agar mereka boleh memberi tumpuan yang lebih kepada usaha mendidik murid-murid terutamanya dalam membentuk sahsiah mereka dan tahap keilmuan.
“Saya telah membuat keputusan untuk menghentikan siri audit yang sedang dijalankan itu berkuatkuasa serta-merta demi maslahat para guru di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dokumen SKPMg2 mula diperkenalkan pada 2001 dengan menggunakan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP).
Dokumen itu untuk memastikan kelangsungan pendidikan negara selaras dengan keperluan pendidikan bertaraf global.
Maszlee juga berkata, langkah itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) selepas memenangani PRU-14 lalu dalam meringankan beban para guru.
“Selaras dengan janji PH dalam dokumen Buku Harapan iaitu Kerajaan Baru PH bercita-cita dan berjanji untuk meringankan beban para guru sekalian.
“Ini merupakan hadiah hari raya buat para guru di luar sana yang selama ini dibebani dengan audit SKPMg2 yang telah menimbulkan kegelisahan mereka.
“Saya sendiri telah dibanjiri dengan pelbagai rayuan, keluhan, rintihan para guru dan kami prihatin mendengar malah cuba untuk memahami dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap apa yang dilalui oleh para guru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.