IMBAS KEMBALI>Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali turut memeriksa butir peribadi pekerja asing ketika operasi pertama Imigresen menahan pekerja asing yang gagal mendaftar kad sementara E-Kad di Kapar Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Dakwaan di media sosial kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan kemasukan kira-kira 80,000 rakyat warga Bangladesh dalam tempoh tiga hari sebelum PRU-14 tidak benar.

Sebaliknya, menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, hanya 648 pekerja asing negara itu telah diluluskan kemasukkannya ke negara ini pada 7 dan 8 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu, pengambilan pekerja asing dibenarkan dari 15 negara sumber dan pemilihan negara itu adalah bergantung kepada keperluan majikan.

“KDN telah dimaklumkan mengenai satu dakwaan yang tular di media sosial mengenai kelulusan membawa masuk pekerja asing Bangladesh ke Malaysia seramai 80,000 orang dalam tempoh tiga hari sebelum PRU-14.

“Berdasarkan semakan rekod KDN, hanya 648 pekerja asing Bangladesh telah diluluskan pada 7 dan 8 Mei lalu, sekali gus menafikan dakwaan 80,000 kuota pekerja asing berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, selepas PRU-14, kerajaan baharu Pakatan Harapan tetap komited untuk menyediakan peluang pekerjaan dan pengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

Bagaimanapun, sekiranya majikan gagal untuk mendapatkan pekerja tempatan, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor yang dibenarkan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Kementerian juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang penyalahgunaan berkaitan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast