Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kiri) bersalaman dengan anak perantau Terengganu pada Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Terengganu Bersama Menteri Besar Terengganu dan Kepimpinan Negeri di Bangi Convention Centre (BCC), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JUN 2018
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kiri) bersalaman dengan anak perantau Terengganu pada Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Terengganu Bersama Menteri Besar Terengganu dan Kepimpinan Negeri di Bangi Convention Centre (BCC), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JUN 2018

BANGIĀ – Projek-projek bermasalah ‘peninggalan’ pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Terengganu akan dibaik pulih semula dan dibuat penambahbaikan dalam masa dekat.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan untuk memastikan projek bermasalah itu dapat diselamatkan segera.

“Banyak soalan yang kami terima yang bertanyakan bagaimana kedudukan projek-projek sebelum ini yang gagal di Terengganu.

“Salah satunya projek yang bermasalah sebelum ini ialah Taman Ilmu di mana kita sudah berbincang dengan agensi terlibat dan cuba mengenal pasti apa yang boleh dibuat

“Semua perkara ini dalam perancangan dan insya-Allah beri sedikit masa untuk kita rangkakan pelan penyelesaian kepada masalah-masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu bersama Perantau Anak Terengganu di Pusat Konvenysen Bangi di sini petang tadi.

Projek Taman Ilmu yang terletak di Tembila, Besut menjadi kontroversi apabila kerajaan telah bertindak membayar RM40 juta kepada sebuah syarikat bagi menyelesaikan kes saman oleh sebuah syarikat berhubung proses pembangunan projek taman ilmu itu di luar mahkamah.

Pembangunan Taman Ilmu yang diilhamkan ketika era pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan kos dianggarkan sebanyak RM300 juta masih gagal disiapkan sehingga ke hari ini.

Selain Taman Ilmu, Pas Terengganu sebelum ini sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang didakwa gagal dalam melaksanakan projek-projek mega seperti Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir, Zoo Mini Kemaman dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak. – MalaysiaGazette