KUALA LUMPUR – Isu pelantikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin akan selesai sekiranya mereka melepaskan jawatan segera, kata Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Mereka tidak harus mengenakan beban kepada tujuh hakim untuk melakukan, jika mereka mengundurkan diri, maka perdana menteri dan Kabinet dapat memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilihnya, lapor Star Online yang memetik kenyataan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Majlis Peguam dan Bar Malaysia dan Persatuan Peguamcara Sarawak (AAS) mencabar pelantikan Md Raus dan Zulkefli kerana umur mereka melepasi usia bersara mandatori 66 tahun dan enam bulan.

Kes ini sedang didengar di Mahkamah Persekutuan.

“Dengan kata lain, mereka tidak sepatutnya mempunyai hubungan dengan perdana menteri sebelumnya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata, individu yang boleh mengisi jawatan berkenaan ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Richard Malanjum dan Tan Sri Zainon Ali yang merupakan hakim paling kanan.

“Kami tidak pernah mempunyai Ketua Hakim dari Malaysia Timur, jadi sudah waktunya kerajaan memberikan jawatan itu kepada mereka.

“Tambahan pula Richard adalah seorang calon yang sangat baik, dia mempunyai banyak pengalaman, baik sebagai peguam mahu pun sebagai hakim,” kata Sri Ram.

Beliau menambah, jika Md Raus dan Zulkefli terus berada pada jawatan masing-masing, ia akan menjejaskan peluang Malanjum dan Zainon kerana mereka tidak mempunyai banyak masa lagi.

“Dan mereka harus diberi peluang untuk berkhidmat,” kata Sri Ram.

Sri Ram sebelum ini mendakwa Tun Daim Zainuddin meminta Md Raus dan Zulkefli melepaskan jawatan mereka.

Tindakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana cara itu tidak bertepatan dengan Perlembagaan. -MalaysiaGazette