Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji semula kos fasa kedua projek penambahbaikan Landasan Berkembar Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan laluan sepanjang 110 kilometer.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mengambil keputusan itu kerana kos bagi projek berkenaan terlampau tinggi iaitu RM5.9 bilion.

“Sebab kita nak kaji semula fasa kedua ini ialah kosnya terlampu tinggi (RM5.9 bilion) selain tempoh persiapan projek ialah jangkaan tujuh tahun dan inilah tidak masuk akal langsung.

“Malah kita mendapati projek berkenaan juga diberi secara rundingan langsung tanpa tender terbuka secara telus oleh kerjaaan terdahulu.

“Kita tidak mahu menyeksa rakyat khususnya pengguna komuter menunggu sehingga tujuh tahun untuk menikmati pengangkutan tren itu,” kata beliau dalam sidang media di Stesen KL Sentral di sini.

Beliau terdahulu mengadakan lawatan ke Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bermesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Hisham Samsudin mengenai prestasi dan projek-projek yang sedang dilaksanakan syarikat ketika ini.

Fasa kedua penambahbaikan landasan berkembar komuter itu melibatkan jajaran dari Stesen KTMB Kuala Lumpur ke Klang, Salak Selatan-Seremban dan Simpang Port Klang ke Port Klang.

Ditanya mengenai fasa pertama projek penambahbaikan landasan itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, kerja menaiktaraf landasan berkembar sejauh 40 kilometer itu telah dimulakan pada Februari 2015 dan dijangka siap menjelang November 2019.

“Fasa kedua kosnya bernilai RM1.4 bilion dan kerja penambahbaikan sedang dalam proses perlaksanaan.

“Ia menghubungkan Stesen Kuala Lumpur ke Simpang Port Klang dan Rawang, sepatutnya siap lebih awal iaitu Ogos 2019 tetapi dilewatkan tiga bulan,” katanya.- Malaysiagazette