Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merafak sembah memberi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana perkenan untuk gaji dan emolumen baginda dipotong sebanyak 10 peratus sehingga 2021.

Katanya, ia merupakan motivasi untuk mengurangkan hutang kerajaan sebelum ini.

“Kementerian Kewangan dengan ini merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, kerana perkenan limpah kurnia bagi memotong 10 peratus gaji serta emolumen Baginda Tuanku sepanjang pemerintahan Baginda Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong sehingga 2021, sebagai sumbangan Baginda Tuanku mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,087 bilion.

“Dengan perkenan Baginda Tuanku ini, ia sekaligus menyuntik semangat patik serta rakyat marhaen dalam bersungguh-sungguh mengurangkan beban hutang Kerajaan Persekutuan berikutan skandal-skandal kewangan terdahulu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Guan Eng, keprihatinan Sultan Muhammad V sudah tentu akan disanjung rakyat.

Semalam baginda perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan baginda sehingga tahun 2021.-MalaysiaGazette