Lim Guan Eng selepas mengadakan mesyuarat dengan Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

KUALA LUMPUR – Aset yang dirampas daripada 1Malaysia Development Bhd akan digunakan untuk menjana pendapatan dan dikembalikan kepada Malaysia secepat yang mungkin.

Itu kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi akaun Twitter beliau selepas mengadakan mesyuarat dengan Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pihak membincangkan perkara penting berkaitan pelaburan dan firma AS yang besar di Malaysia.

“Beliau (Kamala Shirlin) memberi jaminan kepada saya bahawa aset yang dirampas daripada 1MDB akan digunakan untuk menjana pendapatan dan dikembalikan kepada Malaysia secepat yang mungkin,” katanya.

Sejak melaporkan diri sebagai menteri kewangan pada 22 Mei, Lim mendedahkan bahawa kerajaan mengeluarkan wang, berjumlah RM6.9 bilion untuk membayar hutang 1MDB sejak April 2017.

Beliau juga memaklumkan bahawa negara mempunyai hutang sebanyak RM1 trilion setakat 31 Dis, 2017 yang termasuk RM686.8 bilion hutang kerajaan Persekutuan dan RM199.1 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan yang akan dibayar bagi mewakili entiti yang gagal membayar hutang mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast