Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah bersalaman dengan peserta Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah bersalaman dengan peserta Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Setiap calon yang bertanding dalam Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Jun ini perlu ditapis terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar dapat diterima oleh masyarakat di setiap kawasan yang diwakilinya.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, parti itu tidak boleh lagi menerima kesilapan kali kedua dalam memilih pemimpin khususnya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Kita mesti tapis setiap orang yang datang ke depan (jadi calon) jangan separuh jalan kita membuat kesilapan memilih orang yang tak dapat diterima oleh masyarakat.

“Itu menjadi suatu masalah kepada kita. Jadi itu satu perkara yang menjadi kebimbangan kepada saya.

“Syarat ini mesti dikenakan ke atas bukan sahaja para pemimpin bahkan UMNO Bahagian-Bahagian dan keseluruhan ahli parti iaitu disiplin (memilih pemimpin),” katanya pada Wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, walaupun beliau mengutamakan kepimpinan orang muda, namun peranan golongan veteran dalam parti perlu wujud kerjasama yang baik untuk memulihkan parti.

“Gandingan orang lama dengan orang baru itu bagus, tetapi siapa nak menentu siapa orang lama siapa orang baru yang boleh diterima oleh parti.

“Orang lama dan orang baru mesti bersatu supaya kita dapat maju ke depan untuk kita membangitkan semangat semula, membangunkan UMNO supaya kita dapat bergerak di merata tempat seluruh negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan muda agar tidak menerima sepenuhnya cadangan dan padangan pemimpin, lebih-lebih lagi pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad ala ‘top gun’.

“Golongan muda terutama sekali, jangan menerima bulat-bulat apa yang disuarakan oleh pemimpin.

“Mesti diperiksa dengan halus segala cadangan dan pandangan kerana kita tak mahu lagi cara dan pemikiran Top Gun, mesti Bottom Up supaya orang boleh menimbang setiap peranannya.

“Biarlah wujud konsensus antara semasa kita supaya kita tidak kata ini kesalahan pemimpin kerana ia idea yang datang dari bawah sebelum menjadi dasar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast