Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media khas di Pejabat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Tidak ada sebarang cadangan diterima oleh Kementerian Pengangkutan berhubung pembinaan lapangan terbang baharu di negara ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya juga tidak menerima permohonan untuk meluaskan saiz lapangan Terbang Tioman.

“Tiada permohonan juga diterima kementerian untuk memperbesarkan Lapangan Terbang Tioman, Pahang,” katanya pada sidang media di pajabatnya di sini hari ini.

Mengulas mengenai projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur – Singapura, Anthony berkata, beliau akan menemani Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan ke Singapura untuk berunding dengan kerajaan negara itu berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak tahu bila tarikh kunjungan ke negara berkenaan akan dibuat.

Sementara itu, Loke kata, kementerian tidak akan menentang inisiatif-inisiatif swasta termasuk Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Kita hanya akan mengumumkan projek yang akan dikaji semula atau dibatalkan. Kementerian tidak mempunyai isu tentang penerusan inisiatif swasta seperti DFTZ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri dijangka memberi perincian tentang bayangan bahawa Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional.

Ujarnya, beliau percaya Mahathir akan memberikan lebih banyak maklumat berhubung perkara itu selepas pulang ke tanah air dari lawatannya ke Jepun ketika ini.

“Setakat kita tahu, kerajaan komited untuk memperbaiki program pengangkutan awam. Saya rasa komitmen kerajaan adalah untuk membantu masyarakat awam mendapat keterhubungan pengangkutan yang lebih baik.

“Perdana Menteri juga memberi komitmen dan sokongan penuh bahawa kita perlu memperbaiki sistem pengangkutan awam kita termasuk bas dan teksi,” tambah beliau.

Semalam, Mahathir yang berada di Tokyo memberikan bayangan bahawa Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional setelah pemilikan Proton yang kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.

Perdana Menteri menyatakan projek berkenaan kemungkinan melibatkan rakan-rakan dari negara ASEAN yang lain. – MalaysiaGazette