AS, Maxico dan Kanada tuan rumah bersama piala dunia 2026

MOSCOW – Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia tahun 2026 akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Ketiga-tiga negara itu bersatu mengemukakan bidaan untuk menjadi tuan rumah temasya edisi ke-23 itu.

Proses pengundian oleh Kongres Persekutuan Bola Sepak Sedunia (FIFA) hari ini menyaksikan ketiga-tiga negara itu berjaya mengenepikan bidaan Maghribi.

Bidaan bersama tiga negara itu memperolehi 135 undi berbanding Maghribi hanya memperolehi 65 undi.

Temasya berprestij tinggi dunia itu bakal menjadi acara piala dunia terbesar yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Temasya Piala Dunia 2026 nanti akan menyaksikan 48 pasukan negara akan beraksi dalam 80 perlawanan selama 34 hari.

“Bola sepak ialah satu-satunya kemenangan semua, kita semua bersatu menerusi bola sepak.

“Terima kasih atas penghargaan terbesar yang diberikan ini,” kata Presiden bola sepak AS, Carlos Cordeiro.

Daripada 211 negara yang menganggotai FIFA, 200 wakil setiap negara mengundi pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2026 dalam Kongres FIFA yang berlangsung di Moscow hari ini.

Majoriti mudah sejumlah 104 undi sudah melayakkan sesebuah negara menjadi tuan rumah piala dunia.

Ghana tidak menghantar wakil setelah kerajaan negara itu menyatakan Persatuan Bola Sepak Ghana dibubarkan kerana terlibat skandal rasuah.

AS pernah menganjurkan Piala Dunia pada tahun 1994 manakala Mexico pada tahun 1970 dan 1986.

Kanada hanya pernah menganjurkan Poala Dunia Wanita pada tahun 2015.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast