Rusia pasukan lima bintang
Yuri Gazinsky meletakkan pasukannya di hadapan menerusi gol pertama pada aksi pembukaan menentang Saudi Arabia di Kumpulan A Piala Dunia 2018 malam tadi.

MOSCOW- Rusia memulakan aksi pembukaan Piala Dunia 2018 dengan mencatatkan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Arab Saudi malam tadi.

Selaku tuan rumah edisi ke-21 itu, pasukan bimbingan Stanislav Cherchesov berjaya membuktikan skuadnya layak diberi rating lima bintang berikutan aksi dan keputusan memberangsangkan itu.

Keputusan itu diibaratkan antara terbaik dalam sejarah temasya itu sejak 1934.

Sebelum ini pada tahun 1954 Brazil menundukkan Mexico dengan jaringan besar 4-0 pada aksi pembukaan piala dunia ketika itu.

Skuad Rusia pernah dikritik hebat setelah gagal mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir persahabatan sebelum ini termasuk teguran tegas daripada Presiden negara itu Vladimir Putin.

Tetapi beraksi di hadapan peminat bola sepak seramai 78,011 orang di stadium Luzhniki malam tadi mereka tidak berdepan kesukaran berdepan Arab Saudi.

alt abdullah al-mayouf
Penjaga gol Arab Saudi tidak berdaya untuk menepis bola hasil tandukan kencang penyerang Rusia sebelum dilanyak 5-0 oleh Rusia dalam aksi pembukaan Piala dunia 2018 malam tadi.

Walaupun Arab Saudi menguasai 61 peratus bola di atas padang namun gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat atau gol di gawang pasukan tuan rumah.

Kemenangan yang tidak dijangkakan itu memberi keyakinan pasukan itu berpeluang mara ke pusingan seterusnya di peringkat kumpulan.

Gol pertama Rusia hadir menerusi tandukan Yuri Gazinskiy pada minit ke-12, diikuti Cheryshev (minit ke-49 dan 90), Dzyuba(71) dan Golovin (miit ke-95).

Pada separuh masa pertama Arab Saudi telah mensia-siakan tiga peluang gol yang diperolehinya.

Dengan keputusan itu Rusia menghuni kumpulan A dengan tiga mata penuh.-MalaysiaGazette