Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

KUALA LUMPUR – Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

Pembayaran bonus itu dipercayai bagi tahun kewangan 2017/2018.

Sumber-sumber memberitahu, sepatutnya pembayaran bonus oleh syarikat-syarikat milik kerajaan itu dibuat pada suku pertama atau suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diadakan pada 9 Mei lalu maka proses kelulusan pembayaran itu didakwa tidak sempat ditandatangani oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

“Kami dimaklumkan kelulusan pembayaran bonus itu ditunda selepas PRU14. Tetapi disebabkan kekalahan Barisan Nasional, jadi terpaksa tunggu lagi.

“Ini pun, tidak tahu apa cerita (kelulusan bonus) kerana masih menunggu tandatangan Lim Guan Eng.

“Cuma berharap tidak masalah kerana pembayaran bonus syarikat-syarikat milik kerajaan ini dibuat berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan kedudukan syarikat,” kata sumber-sumber kepada MalaysiaGazette.

Jelas sumber-sumber lagi, disebabkan pertukaran kerajaan syarikat-syarikat milik kerajaan terpaksa menghantar sekali lagi permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk tujuan pembayaran bonus.

“Kami difahamkan surat mengenai bonus dihantar kepada Menteri Kewangan dan setakat ini belum ada apa-apa berita gembira lagi,” ujar sumber-sumber. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast