KUALA LUMPUR – Kontrak hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan rendah minggu depan, selari dengan unjuran prestasi pasaran tunai yang lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga itu berkata, bursa tempatan dijangka meneruskan aliran harga menurunnya kerana tiada rangsangan.
Kontrak hadapan FBM KLCI tidak banyak bergerak di sepanjang minggu yang baru berakhir, selari dengan kedudukan kadar asas pasaran tunai.
Pasaran didagangkan setengah hari pada Khamis dan ditutup pada Jumaat sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, Jun 2018 susut 17.5 mata kepada 1,757.5, Julai 2018 dan September 2018 masing-masing turun 11 mata kepada 1,763.0 dan 1,765.0, manakala Disember 2018 susut 13 mata kepada 1,757.0.
Jumlah dagangan minggu ini berkurangan kepada 29,566 lot berbanding 45,971 lot minggu lepas, manakala minat terbuka merosot kepada 37,529 kontrak berbanding 38,770 kontrak sebelumnya.
Penanda aras FBM KLCI susut 1.79 mata untuk ditutup pada 1,761.78. – BERNAMA