Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad menafikan dakwaan beliau terlibat dalam penyelewengan dana dari pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad menafikan dakwaan beliau terlibat dalam penyelewengan dana dari pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad menafikan dakwaan beliau terlibat dalam penyelewengan dana dari pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau menyifatkan dakwaan itu berniat jahat.

Idris turut mempersoalkan mengapa tuduhan tersebut dibuat ketika namanya dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Dakwaan ini dilakukan oleh pihak-pihak pengecut dan pembohong. Saya tidak melakukan rasuah, saya sudah pun mengisytiharkan aset-aset saya,” katanya pada sidang media hari ini.

Idris berkata, beliau hanya mengetahui mengenai tuduhan-tuduhan yang dilemparkan melalui media sosial sejak semalam.

Beliau didakwa terlibat dalam penyelewengan dana pinjaman PTPTN penuntut-penuntut Vision College.

Tegasnya, beliau hanya menjadi salah seorang daripada lembaga pengarah kolej berkenaan dan menjadi penasihat berhubung perkara-perkara perubatan sahaja.

“Saya tidak mempunyai jawatan pengurusan di kolej itu,” katanya, sekaligus menolak dakwaan beliau memiliki kolej berkenaan.

ADUN Ijok itu berkata, tidak ada sebab mengapa dia perlu terjebak dengan penyelewengan dana kerana kedudukan kewangannya kukuh.

“Kenapa saya perlu ambil duit PTPTN, saya mempunyai kedudukan kewangan yang baik,” katanya sambil memberitahu kediamannya sahaja bernilai kira-kira RM8 juta. – MalaysiaGazette