Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menilai semula keputusan kerajaan terdahulu yang menempatkan satu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Arab Saudi bagi tujuan siapsiaga untuk evakuasi rakyat Malaysia di Yaman.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia sama sekali tidak pernah terlibat dalam operasi menyerang Yaman yang juga sebuah negara Islam.

Sungguhpun begitu, kehadiran ATM di Arab Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Timur Tengah.

Sejak dari awal, Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa-kuasa besar dunia, jelasnya.

Malahan kerajaan Malaysia terlibat secara aktif dalam Pergerakan Negara-negara berkecuali (NAM) dan pernah mempengerusikannya.

Lantaran itu, kata Mohamad, kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai perkara ini selepas penilaian semula selesai dijalankan. – MalaysiaGazette