Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memilih Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden kerana beliau sudah dianggap bapa dalam kalangan ahli parti selama ini.

Sebagai bapa, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li mampu menyatukan semula keluarga selepas berlaku krisis kerana statusnya dihormati.

“Ku Li macam bapa dalam UMNO baharu nanti. Beliau bersih, bijak dan berpengalaman dan sudah tentu menjadi individu paling mantap menerajui UMNO kali ini,” ujar Mohd. Ali Baharom.

Pengerusi NGO No 1 Negara itu berpendapat, Ku Li juga ibarat intan permata dalam UMNO yang dapat ‘menyuluh’ jalan parti kembali ke landasan semula sekiranya diberi peluang.

Mohd. Ali yang dikenali Ali Tinju berpendapat, selain ahli parti, Ku Li juga sudah dihormati oleh pimpinan Pakatan Harapan yang menjadi kerajaan sekarang termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Lagi pun Ku Li bertanding bukan mahu menjadi Perdana Menteri kerana UMNO kini pembangkang tetapi beliau mampu membawa semula haluan parti menjadi parti yang kembali bersemangat meneruskan perjuangan,” ujarnya di sini hari ini.

alt MGF18042018_MTR BANDAR TUN RAZAK_06
Mohd Ali Baharom.

Ku Li antara tujuh calon Presiden UMNO yang bertanding termasuk pemangku presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Empat lagi calon ialah Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd. Yusog Musa.

Dalam pada itu, Ali Tinju yakin Ku Li akan dipilih sebagai presiden memandangkan keadaan UMNO yang kini terumbang ambing dan sangat memerlukan nakhoda berpengalaman.- MalaysiaGazette