Sara Netanyahu
Sara Netanyahu

TEL AVIV – Isteri perdana menteri Israel didakwa melakukan penipuan berhubung penyalahgunaan dana negara, dikenali ‘Residence Affair’, dengan memesan makanan daripada sebuah restoran untuk dihantar ke kediaman rasmi perdana menteri.

Wanita pertama Israel, Sara Netanyahu, didakwa menyalahgunakan sejumlah Shekel 350,000 (kira-kira AS$96,000) dana rasmi bagi memesan makanan secara boros di kediaman rasmi di Jerusalem antara 2010 dan 2013, lapor RT.

Perbelanjaan yang melebihi daripada kebiasaan ke atas makanan mewah itu dilakukan walaupun keluarga Netanyahu mempunyai tukang masak sepenuh masa.

Sara didakwa bersubahat dengan pekerja di kediaman rasmi perdana menteri untuk menyembunyikan fakta mempunyai tukang masak dengan menyatakan secara sedar memesan makanan daripada luar merupakan satu kesalahan, menurut kertas pertuduhan.

Peguam Sara menolak dakwaan itu dan menyifatkannya ‘tidak masuk akal dan khayalan.

“Ia merupakan pertama kali di Israel dan seluruh dunia seorang isteri pemimpin didakwa kerana memesan makanan. Tiada penipuan ataupun pecah amanah atau kesalahan lain,” kata wakil beliau dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Benjamin Netanyahu.

Selain mengisytiharkan Sara tidak bersalah, peguam tersebut juga menuding jari kepada pekerja keluarga perdana menteri itu dan ‘tetamu rasmi dari Israel dan seluruh dunia’ dengan membayangkan makanan yang dipersoalkan itu tidak hanya dimakan oleh isteri Netanyahu.

“Bukan hanya keluarga Netanyahu yang memakan kebanyakan makanan itu tetapi juga banyak orang (yang memakannya) termasuk pekerja keluarga itu,” kata kenyataan tersebut.

Sara menafikan sebarang salah laku. Kini suami beliau berhadapan dengan beberapa siasatan jenayah berhubung dakwaan rasuah.

“Kes 1000 yang berkisar dakwaan Netanyahu menerima hadiah mewah bernilai berpuluh ridu dolar daripada penerbit Hollywood, Arnon Milchan dan hartawan Australia, James Packer.

Dalam siasatan lain, dikenali Kes 2000 dan Kes 4000 Netanyahu didakwa bersengkokol dengan tokoh media untuk menyiarkan berita mengenai beliau dan Sara.

Pada bulan ini, Netanyahu disoal mengenai ‘urusan kapal selam’ dikenali kes 3000 yang membabitkan dakwaan rasuah dalam penjualan kapal dan kapal selam kepada Israel oleh syarikat pembinaan kapal Jerman, ThyssenKrupp, yang bernilai berjuta-juta dolar.

Beliau disiasat berhubung urus niaga itu walaupun bukan mrupakan suspek. – Agensi