Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tiga kanan) bersalaman dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (tiga kiri) selepas pada sidang media memperkenalkan Gabenor Bank Negara di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2018

PUTRAJAYA – Meskipun pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos dibuat oleh Kementerian Kewangan, menterinya Lim Guan Eng, tetap memberi keyakinan bahawa fungsi bank pusat itu masih kekal sebagai sebuah institusi bebas dan berkecuali.

“Saya hanya membuat pengumuman dan memperkenalkan gabenor baharu kepada semua orang.

“Mengikut undang-undang, bidang kuasa Bank Negara masih tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Bank Negara dan bertindak sebagai sebuah badan berkanun.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang bertindak mengikut undang-undang,” katanya semasa sidang media mengumumkan pelantikan Shamsiah di Kementerian Kewangan dekat sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama pelantikan Gabenor Bank Negara dibuat oleh seorang Menteri Kewangan.

Shamsiah yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang perbankan pusat termasuk pernah menjawat jawatan Timbalan Gabenor Bank Negara dari tahun 2010 sehingga 2016 diberi perkenan oleh Yang Di Pertuan Agong untuk menerajui Bank Negara bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 1 Julai ini sehingga 30 Jun 2023.

Beliau sebelum ini berkhidmat dengan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk mengumumkan bahawa Yang Di Pertuan Agong pada 19 Jun telah memberi perkenan terhadap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melantik Datuk Nor Shamsiah sebagai Gabenor Bank Negara yang baharu,” katanya sambil menambah, Perdana Menteri telah menyerahkan cadangan tersebut pada 18 Jun lalu.

Shamsiah mula berkhidmat dengan Bank Negara sejak 1987 dan terlibat dengan pelbagai sektor malah turut menjadi tulang belakang di dalam mencari inisiatif penyelesaian semasa krisis kewangan Asia yang lalu.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memformulasi dan melaksanakan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) serta Pelan Tindakan Sektor Kewangan (2011-2020) yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sistem kewangan Malaysia.

Dalam respon ringkasnya, Shamsiah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari University South Australia mahu terus melaksanakan mandat Bank Negara di dalam menjamin kestabilan kewangan dan dasar monetari Malaysia.- MalaysiaGazette