KUALA LUMPUR – Isteri usahawan dan penyanyi Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.15 kilogram (kg) hari ini.
Berita gembira itu dimaklumkam oleh ibu kepada pengasas produk kosmetik itu, Rozita Ibrahim menerusi laman Instagram miliknya.
Menurut pengasas produk Sendayu Tinggi itu, menantunya melalui proses bersalin dengan mudah selama satu jam tanpa sebarang jahitan.
“Teruja sangat saya sampai tak pakai kasut berkejar sambut cucu. Senang sangat menantu saya bersalin selepas buka 4 cm.
“Tak sampai satu jam dia melahirkan bayi yang sangat comel. Berat 3.15 kg tanpa jahitan. Alhamdulillah, cucu lelaki yang comel sangat-sangat,” tulisnya.
Rozita turut memuat naik video yang memperlihatkan wajah bayi pasangan itu di laman sosialnya.
Sementara itu, Aliff yang juga penyanyi lagu Abang Nak Tegur pada masa sama memuat naik video ketika menemani isterinya yang sedang menunggu detik melahirkan bayi mereka.
“Penantian enam tahun akhirnyaa. Sumpah nak tengok @shahidadherbs tahan kat bilik bedah pun tak sanggup. Kuatnya pengorbanan ibu. Setuju tak? Siapa ada pengalaman macam ni?” tulisnya.
Sebelum ini, Aliff sudah lama mengimpikan zuriat yang ramai dan tidak menyangka dia mendapat rezeki itu selepas mengambil dua orang angkat.
Aliff dan Shahida berkahwin pada Ogos 2007 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, 10, Qadejah El Zahra, 8, dan Ibraheem Adham, 6.
Pasangan ini mengambil anak angkat pada tahun lalu iaitu Ameena pada bulan Oktober yang kini berusia sembilan bulan dan Qayyum pada awal Disember yang usianya tujuh bulan. – MalaysiaGazette