Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Datuk Mustafha Abd. Razak

KUALA LUMPUR- Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak dan bekas Pengerusi bank berkenaan, Tan Sri Abdul Aziz Zainal masing-masing atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang hampir RM15 juta.

Kes tersebut adalah berhubung projek penerbitan sebuah buku biografi seorang VIP dua tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah membebaskan dan melepaskan Mustafha, 50, dan Abdul Aziz, 67, selepas Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Afzanizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah mereka telah menarik balik pertuduhan ke atas dua individu berkenaan.

Hari ini telah ditetapkan sebagai hari perbicaraan kes berkenaan.

Untuk rekod, Mustafha dan Abdul Aziz didakwa pada 7 September 2016 dan kedua-duanya memohon untuk dibicarakan.

Pengarah Urusan Bank Rakyat itu dituduh melakukan kesalahan berhubung peruntukan perbelanjaan pemasaran kumpulan di Menara Berkembar Bank Rakyat, Jalan Travers pada 11 Mac 2016 dan dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Abdul Aziz yang diamanahkan terhadap peruntukan berjumlah RM14,991,283.20 itu dituduh bersubahat dengan Mustafha untuk melakukan kesalahan pecah amanah tersebut pada tempat dan waktu yang sama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast