Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus berteka-teki siapa lagi anggota Kabinet yang akan dipilih dalam pentadbirannya.

Beliau bagaimanapun memberitahu senarai penuh Kabinetnya itu telah dimuktamadkan.

“Senarai penuh Kabinet sudah ada dan muktamad. Bila mereka angkat sumpah nanti, kita akan tahu siapa mereka,” katanya pada sidang media PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Beliau ditanya bilakah kerajaan akan mengumumkan senarai penuh Kabinet berikutan majlis taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 akan diadakan esok pukul 9.45 pagi.

Mahathir sebelum ini mengakui beliau berdepan cabaran untuk membentuk Kabinetnya, kerana perlu membuat pertimbangan daripada segi bilangan kementerian yang diagihkan kepada setiap empat parti dalam Pakatan Harapan.

Malah katanya, faktor bangsa dan negeri kelahiran juga menjadi antara cabaran untuk menamakan seseorang menteri bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan empat parti gabungan tersebut.

“Terdapat empat parti dan inilah yang menimbulkan masalah. Saya perlu mengambil kira berapa jumlah kementerian yang mereka dapat dan apakah kementerian yang mereka perolehi.

“Hal ini berbeza sewaktu menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 apabila saya hanya perlu mengisi tempat kosong setiap kementerian, kerana kebanyakkan (Ahli Parlimen) merupakan ahli-ahli UMNO,” katanya dalam klip video temu bual bersama The Edge Markets hujung bulan lalu. – MalaysiaGazette