Hamilton kekal bersama Mercedes
Hamilton difahamkan bersetuju kontrak baharu bernilai RM213 juta bersama pasukan Mercedes sehingga 2020.

LONDON – Lewis Hamilton telah bersetuju dengan kontrak bernilai £40 juta (RM213 juta ) setahun bersama pasukan Formula Satu, Mercedes.

Kontrak baharu itu sekali gus meletakkan pelumba Formula Satu itu sebagai ahli sukan Britain yang berpendapatan tinggi.

Sportsmail difahamkan pemeteraian kontrak antara Mercedes dan juara dunia tiga kali itu akan diumumkan menjelang Grand Prix British 1 Julai ini.

Kontrak baharu pelumba itu termasuk musim perlumbaan 2019 dan 2020.

Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff ketika ditanya bila kontrak baharu Hamilton akan didedahkan berkata, keputusan muktamad telah dicapai.

“Lewis akan memandu untuk kami (Mercedes),” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut.

Sebelum ini Hamilton dikatakan melengahkan rundingan kontrak bersama Mercedes.

Namun Mercedes belum menentukan masa yang tepat mengumumkan kontrak baharu Hamilton dengan Mercedes.

Mengikut senarai pendapatan pelumba F1 yang dikeluarkan Forbes, Hamilton mendahului senarai pemandu dengan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada pada tangga kedua dengan pendapatan £38 juta setahun.

Rakan sepasukan Hamilton, V Bottas mempunyai kontrak bernilai £7 juta setahun bersama Mercedes.

Kontrak berkenaan dikatakan sebagai yang terakhir untuk Hamilton kerana dia akan mencecah usia 36 tahun apabila ia tamat.

Bottas dikatakan akan terus kekal sebagai pelumba kedua Mercedes musim hadapan.

Selepas kejayaan di litar Pau Ricard di Perancis Ahad lepas, Hamilton akan menghadapi perlumbaan di Austria dan Britain.

Mercedes mendominasi kemenangan di Austria selama empat musim lberturut-turut.- MalaysiaGazette