Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia turun 9.78 mata atau 0.58 peratus lebih rendah hari ini berikutan jualan berterusan dan sejajar dengan prestasi lemah bursa serantau lain, kata para peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras terendah harian 1,666.08 daripada paras penutup 1,675.86 pada Selasa.

Indeks itu dibuka 1.62 mata lebih rendah kepada 1,674.24 dan bergerak antara paras 1,666.08 dan 1,681.44 sepanjang sesi dagangan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 558 berbanding 278, dengan 410 kaunter tidak berubah, 677 tidak diniagakan dan 92 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.00 bilion unit bernilai RM1.99 bilion.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata sentimen negatif itu adalah disebabkan oleh penurunan berterusan nilai mata wang China, renminbi (RMB), apabila konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memuncak.

“China kemungkinan mengguna pakai dasar RMB yang lemah sebagai langkah tindak balas terhadap AS, yang merancang mengenakan sekatan ke atas pelaburan negara itu di AS.

“Ini bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap AS, ketika ia berusaha menurunkan defisitnya, tetapi juga Asia, terutamanya pengeksport di seluruh rantau ini kerana mereka perlu terus kompetitif dengan penurunan nilai mata wang,” katanya kepada Bernama.

Pong berkata selagi pergeseran perdagangan ini berterusan, pasaran akan terus menjadi tidak menentu, termasuk Malaysia.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 32 sen kepada RM8.68, Public Bank naik 20 sen kepada RM23.10, Tenaga susut dua sen kepada RM13.82, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM8.45 dan CIMB naik satu sen kepada RM5.40.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy turun 1.5 sen kepada 63.5 sen, Barakah susut 2.5 sen kepada 12 sen dan Borneo Oil tidak berubah pada tujuh sen.

Indeks FBM Emas susut 68.79 mata kepada 11,788.66, Indeks FBMT100 turun 65.85 mata kepada 11,581.41 dan FBM70 jatuh 73.89 mata kepada 14,408.25.

Indeks FBM Ace berkurangan 61.47 mata kepada 5,078.10 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 67.30 mata kepada 11,920.53.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 92.68 mata kepada 16,423.80, Indeks Perusahaan jatuh 14.00 mata kepada 3,103.35 dan Indeks Perladangan berkurangan 37.13 mata kepada 7,493.41.

Jumlah dagangan Pasaran Utama kekal pada 1.21 bilion saham bernilai RM1.78 bilion, daripada 1.21 bilion saham bernilai RM1.77 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 530.93 juta unit bernilai RM164.07 juta berbanding 490.27 juta unit bernilai RM129.48 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 260.38 juta saham bernilai RM37.04 juta berbanding 172.36 juta saham bernilai RM29.08 juta.

Barangan pengguna menyumbang 59.87 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (158.28 juta), pembinaan (101.62 juta), perdagangan dan perkhidmatan (649.86 juta), teknologi (63.64 juta), prasarana (10.58 juta), SPAC (1.05 juta), kewangan (57.83 juta), hotel (432,400), hartanah (81.83 juta), perladangan (25.08 juta), perlombongan (6,500), REITs (3.92 juta) dan dana tertutup (8,400). – Bernama