Amiruddin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengingatkan barisan kepimpinan kerajaan negeri agar bertindak secara bijak dan matang serta menunjukkan teladan yang baik kerana mereka bukan lagi pembangkang di peringkat nasional.

Beliau juga turut memberi jaminan akan meneruskan kesinambungan daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, walaupun pentadbirannya mengikut acuan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tarikh 9 Mei lalu telah mencipta sejarah dalam Malaysia apabila pembangkang secara rasmi telah memenangi pusat pentadbiran Putrajaya dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah, kita akan beri (perkhidmatan) yang terbaik kepada negara dan rakyat,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Amirudin, kalau 20 tahun lalu, selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua pemimpin (pembangkang) ketika itu bertindak dengan sikap amarah.

Bagaimanapun, katanya, konsep reformasi yang dibawa dan dianjurkan oleh PKR dan rakan gabungan pembangkang telah mendidik mereka kepada lebih cermat dalam bertindak sehingga mendapat kepercayaan rakyat dan memberi mandat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak pernah terpikir kita mampu tumpaskan Barisan Nasional (BN) yang begitu kuat. Ini semua berlaku kerana kita berupaya menjadikan kegiatan politik kita bukan hanya kegiatan propaganda semata-mata, sebaliknya kita bergabung dengan pengetahuan dan informasi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kekalahan BN kerana parti itu menganggap rakyat bodoh dan boleh diperlakukan apa sahaja.

“Inilah mesej yang kita terima. Kalau kita perbodohkan rakyat, mereka akan tukar kita. Justeru, kita akan biarkan rakyat cerdik dan memberi kebebasan kepada mereka untuk membuat keputusan.

“Ini penting bagi kita sebagai kerajaan. Kalau kita tidak cakna dan prihatin dengan sentimen rakyat, mereka akan bertindak mengubah kerajaan, apatah lagi dalam tempoh 60 tahun rakyat malu-malu nak ubah kerajaan BN, hinggalah  PRU14 mereka lebih bijak dan berani,” ujarnya.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor akan mentadbir dengan konsep peduli rakyat dan meneruskan apa yang dilakukan Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette