Malam esok akan diketahui siapakah seorang daripada tiga calon ini bakal Presiden UMNO kelapan.
Malam esok akan diketahui siapakah seorang daripada tiga calon ini bakal Presiden UMNO kelapan.

ESOK adalah penentu siapa Presiden UMNO yang baharu. Satu jawatan utama parti keramat orang Melayu yang tidak dibuka untuk dipertandingkan sejak 31 tahun.

Kali terakhir jawatan nombor satu itu dipertandingkan tahun 1987, apabila penyandangnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Dalam pemilihan itu, Ku Li kalah dengan majoriti tipis dan turut menyaksikan UMNO berpecah kepada dua kumpulan dan sekali gus diharamkan oleh mahkamah.

Maka wujudlah dua ‘UMNO’ pada ketika itu, UMNO baharu yang dipimpin Mahathir dan penubuhan parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang mengambil semangat UMNO lama diketuai Ku Li.

Punca jawatan presiden dibuka untuk dipertandingkan kali ini disebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam PRU-14 dan berikutan itu juga, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peletakan jawatan itu termasuk Pengerusi BN berkuatkuasa serta merta.

Serentak itu juga, segala tugas presiden diserahkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden (selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat), memangku jawatan itu.

Berikutan berlaku kekosongan, Ahmad Zahid menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden diikuti bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Ku Li.

Ada dua lagi calon yang layak bertanding jawatan presiden tetapi mereka hanya ibarat melukut di tepi gantang. Adanya mereka tidak menambah, tidak adanya mereka tidak berkurangan. Kehadiran mereka lebih kepada hiburan.

Kini, ketiga-tiga calon Presiden ini sibuk dengan aktiviti menjelajah ke bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara, dalam kempen memperkenalkan diri dan menjelaskan visi sekiranya mereka diberi peluang memenangi kerusi nombor satu UMNO itu.

Tengku Razaleigh Hamzah (Calon Presiden No. 1)

Ketua Perhubungan UMNO Gua Musang merangkap Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berucap pada sesi ramah mesra bersama Sayap-Sayap Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2018
Ketua Perhubungan UMNO Gua Musang merangkap Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau membentang enam teras untuk memulihkan UMNO sekiranya menang. Keenam-enam teras itu ialah;

  • Mengembalikan UMNO kepada ideologi sebenar kewujudannya, kebaikan dan keadilan.
  • Mengukuhkan amalan demokrasi dan terbuka dalam parti.
  • Membongkar potensi generasi muda Melayu untuk dilatih menjadi pemimpin masa hadapan.
  • Menjadi parti pembangkang yang berwibawa dan efektif.
  • Pengurusan aset dan kewangan parti yang lebih baik, dan
  • Memerangi politik wang sehabis-habis mungkin.

Baginya, mengembalikan UMNO kepada ideologi sebenar kewujudannya, ialah sebagai gerakan politik dan pecerahan orang Melayu yang diyakini, bukan sahaja oleh orang Melayu, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Dalam satu majlis ramah mesra bersama tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di kediamannya di ibu kota semalam, Ku Li yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li memberitahu, beliau berjanji sedia menjadi hamba jika dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan pada Sabtu ini.

Malah beliau juga yakin UMNO dapat kembali semula berkuasa di negara ini lebih awal tanpa perlu menunggu tempoh lima tahun lagi, di samping menekannya UMNO mesti nampak kelihatan gagah jika mahu mendapat semula kuasa yang hilang.

Beliau menyeru, ahli UMNO mesti bersatu, tidak boleh berpecah-belah dan jangan beri orang lain memijak atau mempermainkan parti, selain UMNO tidak reda jika ada yang hendak mencabul perlembagaan dan hendak menukar ke bahasa Mandarin.

Khairy Jamaluddin (Calon Presiden No. 2)

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Beliau telah mengemukakan manifesto untuk membangunkan semula parti keramat UMNO. Antaranya, beliau telah mengusulkan supaya kepimpinan parti tidak lagi menangguhkan pemilihan UMNO.

Maksudnya, pemilihan UMNO mesti diadakan setiap tiga tahun kerana ia sebagai satu langkah untuk memastikan setiap jawatan itu dapat dipertandingkan secara sihat dan terbuka dan tidak melindungi sesiapa daripada pertandingan.

“Apabila kita berusul supaya tidak dipertandingkan jawatan setiap tiga tahun, kita tidak tahu sama ada pemimpin itu masih lagi boleh diterima ataupun tidak oleh rakyat dan juga akar umbi,” katanya.

Beliau juga turut mengemukakan usul dan cadangan supaya memastikan tiada lagi usul menghalang jawatan tertinggi seperti Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan sepertimana yang berlaku sebelum ini.

“Kita bukakan supaya presiden dan timbalan presiden ada persaingan yang sihat dan mereka juga berhadapan dengan perwakilan setiap tiga tahun supaya dapat membuktikan matlamat mereka tercapai dan sebagainya.

“Saya telah usulkan dahulu bahawa akar umbi boleh menegur dan kritikan terhadap pucuk pimpinan tanpa rasa risau dipecat ataupun dikenakan tindakan disiplin.

“Saya mencadangkan akan menubuhkan majlis yang dianggotai orang luar parti iaitu profesional, aktivis, ulamak dan sebagainya yang mungkin sebelum ini susah menyertai UMNO kerana disekat di bahagian cawangan dan sebagainya,” ujar beliau.

Khairy yang lebih mesra dengan panggilan KJ memberitahu, jika menang jawatan Presiden, beliau akan menambahkan satu lagi jawatan Naib Presiden bagi golongan wanita.

Katanya, Ketua Pergerakan Wanita UMNO sudah ada dan akan kekal jawatan itu bertaraf presiden, tetapi beliau akan tambah lagi satu jawatan naib presiden untuk wanita sahaja yang mana kerjanya adalah untuk menjadi pemimpin nasional yang mungkin boleh diketengahkan sebagai bakal Timbalan Presiden UMNO atau Presiden UMNO.

“Seterusnya satu lagi jawatan Naib Presiden UMNO yang dikhaskan untuk pemimpin UMNO dari Sabah. Kita kena akui Sabah ini satu negeri yang unik, di mana semangat penubuhan Malaysia antara semenanjung, Sabah dan Sarawak itu menuntut kita supaya memberi kuasa lebih kepada UMNO negeri itu untuk membawa agenda untuk rakyat Sabah.

“Kita juga akan menubuhkan satu kabinet bayangan yang akan mula bertugas dalam sesi Parlimen pada Julai ini, yang mana kabinet bayangan ini ditugaskan untuk kita membayangi menteri-menteri dari pihak kerajaan (PH). Dan jelas bagi rakyat bahawa inilah menteri bayangan dari pihak BN.

Ahmad Zahid Hamidi (Calon Presiden No. 3)

alt MGF23062018_SIDANGMEDIAKHAS_04
Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Sebanyak 191 bahagian akan menjalankan serentak mesyuarat perwakilan esok. Daripada 191 ketua-ketua bahagian yang menawarkan diri untuk bertanding, sama ada mengekal atau berebut jawatan, terdapat 74 ketua-ketua bahagian telah menang tanpa bertanding.

Ini memperlihatkan bahawa dasar keterbukaan yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) untuk jawatan ditandingi telah turut memperkirakan bahawa 74 jawatan ketua-ketua bahagian menang tanpa ditandingi.

Dan ini merupakan satu manifestasi bahawa demokrasi dijalankan dengan kaedah yang terbaik, namun perwakilan di peringkat bahagian telah memperkirakan agar terdapat tokoh tertentu yang tidak perlu mereka tandingi.

Di samping itu juga, keputusan Majlis Tertinggi untuk membuka jawatan di peringkat nasional untuk ditandingi telah membuka ruang yang seluas-luasnya untuk mereka yang layak bertanding bagi menawarkan diri.

Pada Ahad lalu, kita telah tahu siapa dalam kalangan perwakilan pergerakan yang telah memenangi jawatan dan juga menjadi perwakilan daripada pergerakan di peringkat bahagian untuk berada sebagai perwakilan esok, selain perwakilan daripada cawangan yang akan mengundi esok.

Dan kita lihat, terdapat kemeriahan dari segi proses penawaran diri ini, di mana ibu pejabat UMNO Malaysia bersama dengan Badan Perhubungan Negeri telah mengadakan majlis hari raya dan diikuti dengan majlis memperkenalkan calon yang bertanding di peringkat nasional.

Ditanya akan kelebihan Tengku Razaleigh dalam pertandingan itu, Ahmad Zahid berkata; “Kita lihat sendiri nanti esok apabila keputusan telah diperoleh dan pada hemat saya setiap calon itu tentu mempunyai kelebihan masing-masing, tetapi setiap calon juga mempunyai kekurangan masing-masing.

“Saya harap kelebihan dan kekurangan ini dapat dihormati,” katanya.

Mengenai politik wang, bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menyatakan bahawa parti harus menghapuskan amalan politik wang ini seratus peratus.

Katanya, sebarang jawatan yang ditandingi dari serendah-rendahnya hingga ke peringkat atasan hendaklah sifar politik wang supaya jawatan yang dimenangi hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai kredibiliti, bukan menggunakan wang untuk meraih sokongan dan mendapat undi.

“Saya mempunyai beberapa agenda yang telah saya sebutkan, bukan hanya ketika ucapan majlis tertutup yang diadakan di setiap negeri yang telah saya lawati, tetapi saya telah menyebutkan dalam beberapa wawancara dan juga pertemuan dengan media secara eksklusif.

“Kita lihat bahawa kita harus mengakui bahawa UMNO dan BN telah mengalami kekecundangan. Ertinya, kita telah kalah dan gagal dari segi pembentukan sebuah kerajaan.

“Keduanya, kita harus memberi peluang kepada kerajaan yang ada sekarang untuk menunaikan dan melunaskan semua akujanji yang terdapat dalam manifesto sebagaimana yang mereka lontarkan dalam PRU-14 yang lalu.

“Ketiga, kita harus juga berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk melihat dalam tempoh selepas daripada 100 hari, agar kerajaan yang ada sekarang ini dengan pelantikan sepenuhnya menteri dan timbalan menteri untuk menjalankan tugas mereka, bukan hanya untuk melaksanakan akujanji dalam manifesto mereka, tetapi tentunya mereka mempunyai beberapa langkah terutamanya bagi memulihkan ekonomi dan juga agenda-agenda lain demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, UMNO dan BN akan menjadi pembangkang yang konstruktif, berwibawa dan juga menjadi pemantau kepada prestasi yang akan dilakukan oleh kerajaan yang ada sekarang ini.

“Kita juga harus melihat perpaduan di kalangan orang Melayu harus digarap semula kerana kemenangan seterus politik kita ini adalah harga yang terpaksa dibayar apabila perpaduan di kalangan orang Melayu mula dicarik-carik menjadi beberapa kumpulan yang lain, tanpa mahu bersifat perkauman.

“Kita harus mengakui masyarakat di negara kita adalah masyarakat majmuk. Dalam keadaan yang begitulah kita mahu terus agenda Melayu dan bumiputera dilaksanakan tanpa mengetepikan agenda kaum lain,” katanya. – MalaysiaGazette