Persembahan mantap VICCB membolehkan pasukan itu muncul johan bagi kategori Show Band dalam pertandingan Pancaragam Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.
Persembahan mantap VICCB membolehkan pasukan itu muncul johan bagi kategori Show Band dalam pertandingan Pancaragam Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

KUALA LUMPUR – Majlis Makan Malam bagi mengisi dana Pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VICCB) bakal diadakan bagi membolehkan misi pasukan itu mewakili Malaysia dalam Pertandingan Pancaragam Dunia 2018 di Taipei, Taiwan pada penghujung Julai ini.

Majlis yang dianjurkan VICCB itu akan berlangsung di Dewan Victoria Institution, Jalan Hang Tuah di sini bermula 8 hingga 11 malam pada 7 Julai ini.

Pengarah pancaragam VICCB, Muhaizi Mudzakir berkata, penganjuran majlis itu bertujuan mengisi tabung dana bagi membolehkan pasukan berkenaan untuk menyertai pertandingan bertaraf dunia itu.

Menurutnya, VICCB masih kekurangan dana berjumlah RM50,000 bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang empat hari di sana bermula 26 hingga 30 Julai termasuk penginapan, makan minum, pengangkutan serta lain-lain kos.

Menurutnya, kira-kira 93 ahli VICCB akan terlibat dalam pertandingan bagi ketegori Show Band yang dijangka diadakan pada 27, 28 dan 29 Julai depan.

“Bagi menjayakan misi itu, penganjur menyeru mana-mana individu, syarikat korporat dan pihak swasta untuk menyumbang dana mengikut dua kategori meja yang disediakan iaitu penaja emas pada harga RM100, manakala penaja perak bernilai RM50.

“Pada majlis makan malam tersebut, tetamu berpeluang menyaksikan persembahan pancaragam istimewa daripada ahli VICCB yang turut mengetengahkan Street Parade, persembahan pentas dan pertunjukan pancaragam selain peluang memenangi hadiah cabutan bertuah,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Muhaizi berkata, selain itu kerjasama dari bekas ahli VICCB bagi membantu merealisasikan hasrat VICCB menjulang nama negara sekali lagi turut dialu-alukan.

alt Fundraising Dinner Road to TaiwanJusteru, sebarang pertanyaan mengenai sumbangan, penajaan serta tempahan meja boleh menghubungi beliau di talian 019-7843 972 atau menyalurkan sumbangan terus kepada akaun RHB Bank Azian Zain Ahmed – 16232600023807.

Orang ramai juga boleh melayari laman sosial facebook VICCB di https://www.facebook.com/VICCB/ atau https://www.startr.com/projects/vicc2018 untuk maklumat lanjut.

Untuk rekod, VICCB telah ditubuhkan pada tahun 1909 dan banyak menempa kejayaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Deretan kejayaan yang telah dicapai menjadi bukti bahawa VICCB mempunyai ramuan yang jitu dalam mengekalkan namanya sebagai pasukan pancaragam yang paling unggul, ternama dan berjaya di Malaysia secara amnya dan antarabangsa secara khususnya.

Antara kejayaan VICCB adalah menjuarai kategori Drum Battle dan tempat ketiga kategori show band di Copenhagen, Denmark, pada tahun 2015. Manakala VICCB muncul juara pada Pertandingan Pancaragam Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.- MalaysiaGazette