Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai yang baharu, Datuk Ramlan Askolani beramah mesra bersama perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Pemilihan Jawatan Tertinggi UMNO Malaysia di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 JUN 2018.
Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai yang baharu, Datuk Ramlan Askolani beramah mesra bersama perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Pemilihan Jawatan Tertinggi UMNO Malaysia di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Ramlan Askolani diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini hari ini.

Pelantikan tersebut selepas bekas Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal melepaskan jawatannya kepada Ramlan yang sebelum ini memegang jawatan timbalannya.

Ramlan, 57,  merupakan bekas pemain Kuala Lumpur yang pernah menjulang Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut bermula tahun 1987.

Antara rakan sepasukan Ramlan pada zaman kegemilannya ketika itu adalah Malek Awab, Mat Zan Mat Aris, Subadron Aziz dan Fandi Ahmad.

Sementara itu, turut diumumkan menang tanpa bertanding adalah Timbalan Ketua Bahagian Lembah Pantai, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz yang juga bekas Setiausaha Bahagian Lembah Pantai.

Pengumuman itu dibuat selepas Raja selesai Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Lembah Pantai, di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM).

Seramai 381 perwakilan daripada 53 cawangan hadir untuk mengundi pemilihan di peringkat bahagian, G7 iaitu perwakilan yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pusat.

Sesi pengundian pemilihan tiga kertas undi bermula pada 12 tengah hari manakala keputusan dijangka diumumkan lewat petang ini.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata kemenangan Ramlan diputuskan oleh ahli dan pucuk pimpinan Lembah Pantai untuk memberi laluan kepada pemimpin muda.

“Sebelum ini, saya sudah berjanji akan berundur tidak kira menang atau kalah bertanding pada pilihan raya.

“Saya nak serah (jawatan) pada orang muda. Saya sudah bincang keputusan ini dengan golongan muda Lembah Pantai.

“(Jadi) Itu line up (barisan) yang telah direstui ahli UMNO Lembah Pantai, hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette