Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini boleh dianggap sebagai juara dalam membuat pusingan U apabila mendahului 174 negara di dunia yang konsisten melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendakwa, tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST amat memalukan kerana Malaysia merupakan negara pertama yang menarik balik sumber pendapatan negara itu.

“Jangan kerana PH malu sudah janji dengan rakyat kemudian dia batalkan perkara yang tak betul.

“Tidak ada dalam dunia atau 174 negara yang melaksanakan GST, patah balik, kita satu-satunya lakukannya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di sini hari ini.

Kerajaan PH pada 1 Jun lalu mengumumkan kadar baharu GST daripada enam peratus menjadi kadar sifar dan proses pemansuhan sistem cukai baharu itu akan dimansuhkan apabila dibawa ke sidang Parlimen akan datang.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu GST dimansuhkan segera sebagai menunaikan janji pilihan raya lepas dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kada 10 peratus.

Johari selaku calon Naib Predsiden UMNO juga menawarkan khidmat nasihat kepada Kerajaan PH untuk memperkenalkan semula GST pada kadar rendah susulan pemansuhan cukai itu gagal menurunkan harga barang di pasaran.

“Kalau pemansuhan GST ini tidak boleh menurunkan harga barang, apa kata kita buat juga GST macam biasa, mungkin kita ubah kadarnya daripada enam kepada lima peratus.

“Sekurang-kurangnya kerajaan dapat hasil, bila kerajaan dapat hasil, kerajaan boleh membuat banyak perkara untuk ekonomi kita.

“Saya tak kisah untuk membantu mereka (Kerajaan Pakatan Harapan) untuk meyakinkan rakyat, menjadi pembangkang yang progresif,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan boleh memperkenalkan semula GST pada kadar tiga atau empat peratus susulan cukai pada kadar sifar gagal menurunkan harga barang.

“Kita nak perkenalkan semula (GST) tak apa kita tolong, kalau dia tak nak mungkin kita boleh mula dengan tiga atau empat peratus, sebab harga barang tak turun.

“Kalau dia turun, kalau dia hapuskan GST, barang turun okay, apatah lagi bila dia nak perkenalkan SST, harga barang akan naik balik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette