Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak belum membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan tempoh perkhidmatannya ataupun bersara.

Jelas tokoh perbankan berusia 52 tahun itu, kedudukannya ditentukan oleh ahli lembaga pengarah syarikat, pemegang saham dan Bank Negara namun setakat ini beliau tidak pernah berbincang dengan mana-mana badan berhubung perkara itu.

“Jawatan Pengerusi CIMB ditentukan oleh lembaga pengarah, pemegang saham dan Bank Negara Malaysia dan sekiranya salah satu daripada mereka mahukan saya keluar maka saya wajib dan akan menurut perintah.

“Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adik bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk SeriĀ  Najib Tun Razak itu menambah, selama ini mereka di CIMB sentiasa bekerja keras untuk membangunkan sebuah institusi yang kukuh dan diurus tadbir dengan baik namun ianya bukanlah bergantung kepada seorang individu sahaja.

“Bagaimanapun saya berpendapat, ketidaktentuan dalam kepimpinan bukanlah sesuatu yang bagus jadi saya berharap jawapan saya terhadap sebuah laporan berita memberi penjelasan terbaik mengikut kemampuan saya,” katanya sambil menambah tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi CIMB berakhir Ogos tahun hadapan.

Sebelum ini terdapat pelbagai khabar angin yang mengatakan Nazir sudah memberi tahu ahli lembaga pengarah yang beliau tidak mahu lagi dipilih semula sebagai pengerusi apabila tempohnya tamat.

Terdapat satu lagi versi yang mengatakan beliau “diarahkan” supaya untuk meletakkan jawatan lebih awal.

Sejak Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional yang telah memerintah negara selama 60 tahun dan membentuk kerajaan baharu, beberapa peneraju syarikat milik kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan telah meletakkan jawatan atau tidak disambung kontrak. -MalaysiaGazette