Aksi Kylian Mbappe menjaringkan gol dalam kemenangan Perancis ke atas Argentina. foto Agensi

MOSCOW – Perancis muncul pasukan pertama menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia 2018 dalam perlawanan dramatik menentang Argentina malam tadi.

Dalam saingan kalah mati 16 pasukan, impian Argentina berakhir selepas tewas 3-4.

Skuad kendalian Jorge Sampaoli itu di ambang kekalahan pada babak kedua perlawanan selepas penyerang Perancis, Kylian Mbappe menyumbat dua gol dalam tempoh empat minit (64’,68′).

Dua gol itu menafikan gol Gabriel Mercado membawa La Albiceleste mendahului kedudukan 2-1 pada minit ke-48 sebelum Benjamin Pavard menyamakan kedudukan untuk Perancis.

Sebelum itu, Angel Di Maria menyamakan kedudukan gol (41’) selepas Antoine Griezmann menjaringkan gol awal Les Bleus menerusi penalti pada minit ke-13.

Agak terlewat untuk naib juara 2014 itu merapatkan jurang gol biarpun Sergio Aguero meraih gol ketiga untuk Argentina pada masa kecederaan minit ke-93.

Pemain terbaik dunia, Lionel Messi juga gagal untuk membuat magis buat Argentina apabila di kawal rapi oleh benteng pertahanan lawan.

Perancis melangkah ke aksi suku akhir ini dan menyamai rekodnya ketika aksi di Brazil empat tahun lalu sebelum tewas kepada Jerman, 0-1 – MalaysiaGazette