Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mencadangkan potongan gaji kepada penjawat awam untuk menderma kepada Tabung Harapan.

Mereka boleh memilih sama ada untuk sukarela menyumbang atau sebaliknya, kata presidennya Datuk Azih Muda.

Menurut beliau, cadangan tersebut dipersetujui oleh kongres dan potongan itu boleh dilakukan menerusi majikan masing-masing, sekurang-kurangnya RM10.

“CUEPACS dengan persetujuan kongres mencadangkan supaya penjawat awam secara sukarela melalui potongan majikan masing-masing.

“Kita akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara supaya dapat kebenaran majikan masing-masing, penjaat awam menyumbang sekurang-kurangnya RM10 seorang khusus untuk Tabung Harapan,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Jelas Azih, langkah tersebut diambil sebagai tanggungjawab sosial penjawat awam bagi membantu kerajaan meringankan beban hutang ditanggung.

“Ini adalah tanggungjawab sosial daripada penjawat awam khususnya kumpulan penjawat awam pelaksana 1 dan 2 serta juga pengurusan… sekiranya sumbangan nak beri lebih terpulang kepada mereka,” katanya lagi.

Keputusan tersebut juga diperoleh secara majoriti dan akan dipanjangkan kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah menyumbang kepada tabung tersebut. – MalaysiaGazette