Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018
Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pelarasan mekanisme kos tidak berimbang (ICPT) akan menggagalkan usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk mengawal harga barang walaupun surcaj itu hanya dikenakan kepada pengguna bukan domestik.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pelarasan tersebut akan dijadikan alasan oleh para peniaga untuk menaikkan harga barang sedangkan tempoh masa antara Julai sehingga akhir Disember 2018 adalah tempoh penting untuk meneliti reaksi peniaga dan industri selepas kerajaan melaksanakan pelbagai langkah menstabilkan harga barangan termasuk mengumumkan penetapan kadar kosong kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebelum ia dimansuhkan di samping menghapuskan sistem apungan purata mingguan RON95 dan diesel.

“Sekiranya GST dihapuskan dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan tetapi pada masa yang sama tarif bersih elektrik naik; peniaga dan industri akan menggunakan alasan ini (serta pengenalan SST bermula September ini) untuk tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

“Ia juga akan melunturkan keyakinan rakyat terbanyak kepada kesungguhan dan keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat terbanyak yang menukar Kerajaan Persekutuan dengan Harapan ia akan mengelakkan kenaikan harga barang yang tidak wajar,” katanya di dalam posting terbaharu di laman blognya.

Justeru beliau meminta kerajaan menangguhkan keputusan pelarasan ICPT dan memberi beberapa cadangan kepada kerajaan supaya dapat meringankan beban Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang terpaksa menanggung kos bahan api walaupun surcaj itu ditangguhkan.

Jelasnya, antata perkara yang boleh dirundingkan adalah memberi keutamaan kepada TNB untuk mendapatkan kerja-kerja penjanaan elektrik baharu yang ditetapkan kerajaan supaya syarikat tersebut tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik dari penjana bebas (IPP).

Beliau turut mencadangkan supaya perjanjian di antara TNB dan IPP dikaji semula.

“Saya akan membawa cadangan menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik ini ke mesyuarat Biro Politik Keadilan malam ini agar perkara ini disuarakan oleh wakil-wakil Keadilan di dalam Jemaah Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette