Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersedia tarik balik cadangan potongan gaji penjawat awam untuk didermakan dalam Tabung Harapan jika usul itu tidak dipersetujui.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, CUEPACS sudah menjelaskan cadangan itu bukan paksaan, sebaliknya ia adalah secara sukarela.

Katanya, CUEPACS tidak ada masalah untuk berbuat demikian jika cadangan itu mempunyai impak negatif kepada penjawat-penjawat awam.

Katanya, cadangan potongan gaji penjawat awam itu bukan satu keputusan muktamad kerana ia baru di peringkat usul untuk dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Azih berkata, cadangan itu dibuat atas dasar tanggungjawab sosial penjawat awam untuk membantu negara yang dikatakan menanggung beban hutang tinggi.

“Kita pun baru cadang, belum putuskan apa-apa lagi.

“Tetapi kalau cadangan ini tidak diterima baik oleh penjawat awam, kita akan bincang semula kerana ia bukan satu paksaan, ia adalah sukarela,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan orang ramai melalui media sosial berhubung cadangan CUEPACS itu.

Semalam, pada sidang akhbarnya, Azih berkata, cadangan tersebut dipersetujui oleh kongres dan potongan itu boleh dilakukan menerusi majikan masing-masing, sekurang-kurangnya RM10.

Ekoran cadangan itu, CUEPACS juga dikritik oleh netizen susulan bertindak tidak adil terhadap pemerintahan Barisan Nasional dulu kerana meminta pelbagai insentif dan imbuhan, yang didakwa turut menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan selama ini.

Menjawab soalan itu, Azih berkata, CUEPACS adalah badan penjawat awam yang menyokong kerajaan yang memerintah.

“Selama ini memang CUEPACS sering dikatakan satu badan yang suka meminta bermacam-macam kepada kerajaan. Jadi saya rasa tidak salah kalau kali ini kita menyumbang sedikit kepada kerajaan,” jelas beliau.

Menurutnya, CUEPACS pernah melakukan potongan gaji sebanyak RM10 ketika Malaysia dilanda krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Ketika itu penjawat awam berjumlah kira-kira sejuta – juga dibuat secara sukarela. – MalaysiaGazette