KUALA LUMPUR – Ketua pengarang sebuah portal bahasa Inggeris diambil keterangan pada pagi ini bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu itu hadir ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan bermula pukul 8.30 pagi tadi.
Individu berkenaan sebelum ini dijadualkan akan memberi kenyataan pukul 11 pagi.
“Bagaimanapun diawalkan 8.30 pagi dan proses merakam keterangan masih berlangsung di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman,” katanya hari ini.
Pada Jumaat lalu, Razarudin dalam kenyataan rasmi memaklumkan siasatan dimulakan selepas polis menerima laporan polis dari peguam ahli perniagaan terkemuka tempatan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel yang didakwa fitnah bertajuk Malaysia Mulls Casino at Forest City:Bloomberg.
Artikel itu dikatakan mengandungi pernyataan palsu, tidak benar dan tidak beralasan selain tidak disahkan.
Katanya, siasatan dilakukan di Bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Pada masa sama, beberapa pihak mendesak kerajaan agar menyaman dua agensi media asing tersebut yang didakwa melaporkan artiel berniat jahat mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City.
Pada perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan BerjayaCorp menafikan laporan media asing itu. – MalaysiaGazette