Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz hari ini menafikan beliau tahu mengenai wang sejumlah RM2.6 bilion yang berada dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu mendakwa Najib telah membuat dakwaan palsu berhubung perkara tersebut.

Hakikatnya, Zeti memberitahu, Najib telah memanggilnya ke Pejabat Perdana Menteri pada 3 Julai 2015.

“Beliau (Najib) telah meminta saya untuk mengeluarkan satu kenyataan bahawa dia tidak melakukan kesalahan dalam akaunnya.

“Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang urus niaga yang berlaku dalam akaunnya.

“Saya kemudian menerima panggilan daripada Menteri Kabinet yang lain, juga membuat permintaan yang sama supaya saya untuk mengeluarkan kenyataan yang sama.

“Saya memberi beliau (Menteri Kabinet) jawapan yang sama bahawa saya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenai apa yang telah berlaku dalam akaun Najib,” kata Zeti dalam satu kenyataan di sini.

Zeti berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang mendakwa Zeti ketika menjadi Gabenor Bank Negara sedar tentang wang berjumlah RM2.6 bilion dalam akaunnya tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Najib dalam satu wawancara dengan sebuah portal baru-baru ini.

Najib mempertahankan kenyataannya bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Dalam kenyataan tersebut, Zeti juga memberitahu, Bank Negara Malaysia bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh pelaporan institusi kewangan mengenai urus niaga oleh pemegang akaun.

Jelasnya, komuniti perbankan sedar tentang peraturan-peraturan dan garis panduan berhubung pelaporan urus niaga yang mencurigakan dan perlu melakukan siasatan terhadap operasi mana-mana akaun yang terlibat.

Kecuali, institusi perbankan melaporkan kepada BNM tentang penyelewengan dalam akaun atau jika BNM menerima maklumat untuk mempercayai bahawa kesalahan telah berlaku, Bank Pusat tidak dapat memulakan siasatan ke dalam akaun. – MalaysiaGazette