Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memulakan tugasnya sebagai Menteri Belia dan Sukan secara rasmi hari ini mengajak warga belia supaya bersukan dengan beliau.

Sejurus selepas mengetip kad perakam waktu 8.49 pagi di Menara KBS hari ini, Ahli Parlimen Muar itu meminta warga KBS supaya tidak mengamalkan budaya protokol formal dengan beliau.

“Baik panggil saya bro Saddiq… panggilan YB (yang Berhormat) membuatkan saya rasa seperti berusia,” katanya semasa berucap di hadapan ratusan kakitangan KBS di lobi menara kementerian itu.

Turut melaporkan diri hari ini, Timbalan Menteri, Steven Sim, yang kemudian diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali.

Dalam ucapan, Syed Saddiq menjelaskan KBS akan bergerak sebagai satu keluarga yang mengamalkan budaya kerja secara mesra dan bersantai tanpa terlalu protokol.

“Kita juga mahu menerapkan gaya hidup aktif dalam kalangan kakitangan. Budaya hidup aktif ini penting.

“Kita akan berjoging bersama pada waktu pagi atau lepas kerja, petang kita berjoging.

“Kalau dulu semasa di universiti, semua fit dan rajin bersukan, apabila melangkah ke alam pekerjaan, perut dah nampak ke depan, kita kena aktifkan balik budaya sukan dalam kehidupan harian,” tegasnya. – MalaysiaGazette